top of page
Admin

Penyakit Tangan, Kaki & Mulut | Apa Ibu Bapa Perlu Tahu

Penyakit Tangan, Kaki & Mulut (HFMD) merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus-virus di dalam kumpulan enterovirus. Penyakit ini boleh dijangkiti oleh golongan dewasa mahupun kanak-kanak. Namun, kanak-kanak di bawah usia 5 tahun paling mudah dijangkiti virus ini.


Menurut laporan akhbar Utusan Malaysia pada Selasa, 17 Mei 2022, sebanyak 31,661 kes HFMD direkodkan sehingga Minggu Epidemiologi 19/2022 pada 14 Mei lalu. Angka ini adalah 15 kali ganda lebih banyak berbanding ME sama tahun lepas yang hanya mencatatkan 2,121 kes.


Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan berkata pada Selasa, Malaysia merekodkan 7,526 kes HFMD pada ME tahun ini iaitu 349 peratus lebih tinggi berbanding tahun lepas iaitu 1,676 kes.


“Pada tahun ini sehingga 14 Mei lalu, Selangor menyumbang jumlah kes terbesar berbanding negeri-negeri lain iaitu 8,864 kes (28 peratus). Ia diikuti oleh Kuala Lumpur dan Putrajaya 4,421 kes (14 peratus), Sabah 2,650 kes (lapan peratus), Perak 2,638 kes (lapan peratus) dan Kelantan 2,493 kes (7.9 peratus), sementara negeri-negeri lain sekitar atau kurang daripada 1,500 kes,” katanya.


Beliau berkata, sebanyak 889 wabak dilaporkan di Malaysia dengan tiga negeri tertinggi mencatatkan kejadian wabak ialah Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 309 wabak, diikuti Selangor dengan 111 wabak dan Perak 105 wabak.


Walaupun HFMD berkait rapat dengan penjagaan kebersihan, penyakit ini boleh merebak dengan cepat dan mudah dengan kadar jangkitan sebanyak 100 peratus dalam kalangan kanak-kanak berumur kurang dari 10 tahun.


Dr Noor Hisham menjelaskan bahawa majoriti wabak itu bermula di tadika, taska, prasekolah diikuti rumah persendirian dan pusat jagaan kanak-kanak.


Dengan penularan kes HFMD di Malaysia, ibu bapa dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam menjaga kesihatan anak-anak bagi mengelakkan mereka daripada dijangkiti penyakit itu terutamanya ketika berada di luar rumah dan dikelilingi orang serta objek asing.


Tanda & Gejala HFMD

  • Ulser pada tekak, mulut dan lidah

  • Demam

  • Dehidrasi

  • Hilang selera makan

  • Ruam (lepuhan) pada tangan, telapak tangan, siku, kaki dan kawasan lampin

Bagaimanapun, sesetengah kanak-kanak (atau orang dewasa) yang dijangkiti HFMD tidak mengalami sebarang gejala yang dikongsikan di atas. Jadi, anda dinasihatkan agar sentiasa pantau keadaan kesihatan anak-anak anda untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.


HFMD boleh dijangkiti melalui beberapa cara, antaranya:-


Bagaimana HFMD Merebak

  • Menyentuh objek atau permukaan

  • Kontak rapat dengan pesakit HFMD

  • Batuk dan/atau bersin

  • Kontak dengan cecair lepuhan atau najis

  • Berkongsi perkakas makanan atau tuala atau berus gigi

Jika anak anda dijangkiti virus HFMD, mereka disarankan untuk menjalani isolasi sehingga simptom yang dialami surut dan pulih.


Sehingga kini, masih belum ada ubat atau vaksinasi khas untuk membunuh virus HFMD. Pesakit HFMD akan diberikan ubat untuk merawat simptom yang dialami seperti demam.


Segera bawa anak anda ke klinik atau hospital berdekatan jika terdapat tanda-tanda dan gejala HFMD.


Tonton video di bawah untuk penerangan lebih lanjut oleh Pakar Kanak-Kanak ANDORRA, Dr Suhaila Ishak berkenaan penyebaran wabak HFMD dalam rancangan terbitan TV3, Malaysia Hari Ini.



Recent Posts

See All

Comments


bottom of page